Tuesday 6 August 2019

Travelog#40 - Miqat di Jaranah dan Tanaim

Masjid Jaranah

Kami sempat buat 2 lagi umrah semasa di Makkah. Maknanya kesemua umrah yang kami buat adalah 3. Untuk umrah kedua, kami bermiqat di sini.

Masjid Jaranah

Masjid ni terletak kira-kira 24 km dari Masjidil Haram. Rasulullah saw pernah bermiqat disini selepas pulang dari peperangan Hunain

Masjid Tanaim

Umrah yang terakhir kami berniat di Masjid Tanaim. Lokasi masjid ini lebih kurang 7 km dari Masjidil Haram. Di sinilah berakhirnya sempadan tanah haram.

Masjid Tanaim

Sempadan tanah haram


Travelog#39 - Rumah Rasulullah saw

Rumah Nabi Muhammad saw

Rumah Beliau saw terletak di kawasan Masjidil Haram dekat dengan terminal bas. Penulis sebenarnya tak tahu kat mana terminal bas ni. Selama 2 hari semenjak tiba di Makkah penulis cuba cari tapi tak jumpa sebabnya tak bertanya. Nak tanya mutawif, tapi bila jumpa dia je jadi lupa sebab lawatan ke sini bukan sebahagian dari program Anadalusia.

Cerita yang dikaitkan dengan rumah asal Rasulullah saw yang sekarang dijadikan perpustakaan

Pada 15/3/2015 penulis berjalan keliling masjid nak cari terminal bas tapi tak jumpa. Selain dari landmark stesen bas ni, orang kata rumah Rasul saw dekat dengan rumah Abu Lahab yang sekarang dibuat toilet lelaki. Penulis cari semua lokasi toilet kat luar masjid, tapi kawasan tu takda pulak library. Apa yang penulis tahu tapak rumah Nabi saw sekarang ni dibina perpustakaan. Mungkin ada lagi toilet yang belum jumpa?

Penulis masuk bangunan Saie dan keluar melalui pintu Marwah. Kat situ ada toilet besar dan didepan toilet ada paip zam-zam. Penulis jalan terus melepasi toilet tu dan nampak satu bangunan seperti library. Ya, itulah tapak rumah Nabi saw dengan Siti Khadijah...mereka hidup di dalam rumah itu selama 28 tahun lamanya.

Tapak rumah Rasul saw dibina library
Naik tangga tu dan nampak info yang diletakkan di dinding. Pemerintah Saudi melarang perbuatan khurafat dan bidaah seperti berdoa mengadap rumah ini, bersolat dihadapan pintu, mencium dinding dan menangis-nangis di hadapan rumah ini. Alasannya kerana tidak ada dalil yang konkrit bahwa inilah tapak asal rumah Rasulullah saw. TETAPI rumah asal Rasulullah saw memang dikawasan ni, cuma lokasi tepat tidak ada siapa yang tahu.

Perbuatan bidaah adalah dilarang

Dekat pintu masuk juga ada sign besar warna biru yang mengatakan tidak ada dalil sahih ini adalah tapak rumah Baginda saw. Di terjemah dalam 7 bahasa.

7 bahasa

Saudaraku seislam:
Tidak ada dalil soheh yang menentukan tempat lahirnya Nabi Muhammad saw. Maka mengambil berakah di tempat ini, atau mengkhususkannya dengan sholat atau doa adalah perbuatan yang dilarang menurut syariat.

Paip air ZamZam

Kat tepi library ini ada paip zamzam, dikelilingi oleh pagar. Ada polis yang jaga kat pintu. Orang ramai datang isi dalam tong-tong besar. Nampak macam telaga, tapi bukan.

Jemaah sedang mengisi tong

Di depan library ni ada toilet lelaki. Ada yang menceritakan bahwa kononnya disinilah dulunya tapak asal rumah Abu Lahab, seorang yang paling ekstrem melawan dan bermusuh dengan Nabi saw.

Tapak asal rumah Abu Lahab yang sekarang dijadikan toilet lelaki


Travelog#15 - Masjid Nabawi

Masjid Nabi saw

Masjid Nabawi adalah masjid kedua yang dibangunkan oleh Rasulullah saw setelah berhijrah dari kota Makkah. Masjid yang pertama ialah Masjid Quba. Solat di dalam masjid Nabawi dapat 1000 ganjaran pahala. Kiblat mengadap ke arah selatan. Stukturnya adalah yang paling canggih di dunia.

Penulis check in hotel pada 1.30 am. Subuh di sini pukul 5.18 am. Jadi kalau tidur memang payah nak bangun. Kalau bangun sekalipun mungkin solat di hotel je la. Tapi penulis memang nekad, nak jugak solat berjemaah untuk pertama kalinya di masjid nabawi ni sejurus menjejakkan kaki ke bumi Madinah. Pagi nanti selepas sarapan memang ada ziarah makam Nabi saw dalam masjid nabawi bersama mutawif.

Tapi tu pagi nanti, sekarang lain cerita. Setelah mengemas dan buka semua beg baju, penulis mandi dan bersiap untuk ke masjid. Jam menunjukkan pukul 3.00 am. Masih awal lagi, tapi penulis dah tak sabar untuk melangkah masuk ke dalam masjid. Penat, letih, lesu, mengantuk tapi penulis tak peduli semua itu.

Masjid Nabawi
Dengan berpakian jubah dan kopiah buruk, penulis turun dari bilik, keluar dan berdiri di depan hotel. Suhu agak sejuk, tengok yahoo weather di telefon menunjukkan suhu Madinah sekarang adalah 16 celcius. Biar betul? Dengan penuh rasa takjub, berdebar, teruja, hiba dan bermacam lagi, seorang diri perlahan-lahan memulakan langkah dengan lafaz bismillah dan menuju ke Masjid Nabawi.

Semakin dekat, semakin berdebar. Dari jauh lagi dah nampank menara masjid. Masjid yang begitu indah yang selama ini hanya mampu di lihat di kaca tv, tetapi hari ini berada gah di depan penulis. Semasa berjalan menuju ke arah Masjid, fikiran hanya kosong, tak tahu nak pikir apa. Patut rasa gembira? Sedih? Insaf? Entahlah...

Dataran masjid

Payung gergasi
Suasana damai pukul 3.00 am
Akhirnya, penulis mematikan langkah terakhir. Penulis berdiri betul-betul di depan pintu besar. Sekali lagi dengan lafaz Bismillah dan langkah kanan, perlahan-lahan kaki ni melangkah masuk ke dalam masjid. Masih susah nak percaya, penulis berdiri di dataran masjid kedua paling suci setelah Kaabah. Masjid yang dibina oleh tangan Rasulullah sendiri. Tak tergambar dengan kata-kata.

Begitu indahnya masjid ini. Tenang, damai dan nyaman. Itu baru di dataran, belum lagi masuk ke dalam. Kesemua payung masih belum dibuka, jadi penulis memang boleh melihat menara masjid. Ada 10 menara kesemuanya. Bercahaya, gagah dan tinggi. Masjid ni memang besar boleh menampung sehingga 800 ribu jemaah. Ada banyak pintu masuk ke dataran, penulis tak kira berapa tapi memang banyak. Itu belum lagi campur pintu masjid.

Di Dalam Masjid


Setelah puas melihat di dataran, penulis melangkah masuk ke dalam masjid. Jiwa ni terasa seperti disentap. Memang menggagumkan. Luasnya masjid ni, saujana mata memandang. Tak mampu di ungkap dengan kata-kata. Dalam tak sedar rupanya pipi penulis dibasahi dengan air mata. Penulis menangis, terasa hiba dan sedih teramat sangat. Tapi peduli apa, kalau basah satu badan pun takpa. Jasad ini tiba-tiba merasa berada begitu dekat dengan Nabi saw.

Saujana mata memandang

Dalam masjid ada banyak tiang dengan hiasan antik dan khat yang cukup cantik. Dari lantai, dinding, siling semuanya dihiasai dengan begitu indah. Penulis jadi begitu jakun macam orang tak pernah tengok masjid. Kilauan cahaya lampu kristal menyerikan lagi masjid ini, tambahan pula pantulan cahayanya terkena lantai. Seluruh lantai berwarna putih, sama juga dataran. Ruang solat diletakkan karpet berwarna merah.

Aircon

Sistem penghawa dingin Masjid Nabawi adalah antara yang tercanggih di dunia. Dalam masjid ni setahu penulis takde kipas kecuali di dataran. Aircon akan melalui dan keluar di setiap kaki tiang. Memang sejuk dan dingin walaupun semasa solat berjemaah dan cuaca panas. Jumlah tiang di Masjid ni adalah 2104. Dan setiap satu ada saluran AC. Sistem AC ni terletak diluar Masjid, kemudian disalurkan melalui paip bawah tanah. Untuk memahani bagaimana AC raksasa ni berfungsi boleh lihat disini https://www.youtube.com/watch?v=Go7s2L9oQBI

Angin AC keluar melalui ventilation di kaki tiang
Di setiap tiang juga ada disediakan rak kasut dan selipar. Kita dibenarkan bawa masuk selipar ke dalam masjid. Al-quran wakaf juga ada di setiap penjuru ruang solat dan tiang.

Parking Bawah Tanah

Jangan terkejut, Masjid ni ada parking basement bertingkat yang boleh memuatkan kira-kira 4500 buah kereta. Cara nak turun ke basement ni melalui tangga atau escalator yang disediakan di dataran. Ada banyak di sekeliling Masjid. Cari je toilet, tangga ni dalam bangunan yang sama. Ada ditulis tanda P, boleh turun dari situ. Atau boleh juga menggunakan lift.


Kereta akan keluar dari Masjid ke jalan-jalan utama. Ada banyak exit, 6 pintu kesemuanya.

Air Zam-Zam

Air Zam-zam

Dalam masjid ada banyak tong air zam-zam. Ada sejuk dan suam. Kalau nak suam cari tong yang tertulis 'Not Cold'. Boleh minum banyak mana pun dengan gelas yang disediakan. Gelas pakai buang, lepas minum letakkan gelas di dalam corong kiri. Semasa penulis berada di masjid, orang belum ramai lagi. Bolehla duduk situ dan merasa air zam-zam sepuasnya. Jam di tangan menunjukkan pukul 4.00 am.

Masih ada sejam lebih sebelum subuh. Penulis keluar semula ke dataran, masih belum puas mata ni untuk melihat. Tetapi penulis tak sempat tawaf keliling masjid kerana dah dekat waktu subuh. Nampak dah ramai orang mula datang ke masjid. Tambahan pula masjid ni amat luas dan besar. Boleh berpeluh satu badan kalau cukup satu keliling. Esok masih ada, mungkin ada masa lagi untuk penulis meninjau setiap inci masjid ni.

Di pintu keluar ada disediakan paparan LED untuk info solat
Dah hampir waktu subuh, penulis masih lagi tak tahu nak solat di bahagian mana. Masjid ni sungguh luas, teramat luas. Semuanya nampak sama sahaja. Penulis terus melangkah masuk jauh ke dalam. Ternampak ada payung yang sudah dibuka. Eh...payung dalam masjid? Pelik...penulis terus cari saf dan duduk beriktikaf disitu. Orang dah mula ramai. 15 minit lagi bang subuh.

Keluasan Asal Masjid

Bangunan kubah hijau seolah terpisah dengan masjid
Payung gergasi dekat dengan kubah hijau
Di depan penulis ada bangunan yang lain sikit seolah terpisah dari masjid. Designnya tak sama, tiang pun tak sama, banyak lampu gantung. Sungguh cerah kawasan tu. Orang memang ramai kat situ, boleh dikatakan saf memang dah penuh. Kat atas tu ada kubah hijau. Rupanya penulis solat dekat dengan maqam Nabi saw. Di bawah kubah hijau tu la letaknya maqam Baginda saw.

Dan bangunan sekitar kubah tu adalah bangunan dan keluasan asal masjid di zaman rasul. Patutla lain sikit. Kat situ jugalah terletaknya Raudhah, taman syurga antara rumah Nabi dan mimbar. Dalam bangunan tu ada banyak tiang, sama tapi tak serupa. Ada tiang yang ditanda logo khat berwarna hijau dibahagian atas sekali seperti gambar dibawah.

Tiang yang menunjukkan keluasa asal masjid nabawi
Itulah sempadan asal masjid pada zaman Nabi iaitu sekitar tahun 17 hijrah. Kecil sahaja, boleh menampung beberapa ratus jemaah sahaja pada suatu masa. Tiang yang lain tidak bertanda seperti gambar dibawah ni.

Banyak lampu gantung di sini
Masjid di zaman Rasul saw hanya berlantaikan tanah, tak berbumbung dan keluasannya kecil sahaja. Bangunan yang ada di sekitar masjid adalah rumah Rasul, isteri dan anak-anak Baginda saw. Tiang pula dari batang pokok kurma. Atap dilapik dengan pelepah kurma. Begitulah keadaan masjid Rasulullah.

Bentuk asal Masjid Nabawi
Setelah selesai solat subuh, penulis bangun untuk balik ke hotel. Toleh je ke belakang, terkejutnya tengok begitu ramai jemaah yang datang solat subuh. Penulis solat di bahagian depan masjid jadi tak perasan yang dibelakang memang penuh dengan jemaah. Kagum seketika, fenomena yang hanya boleh dilihat di Madinah dan Makah.

Kalau kat Malaysia, nak penuhkan satu saf tu pun payah, tambahan pulak solat subuh. Memang terasak-asak jugalah nak keluar dari pintu. Keluar je penulis tengok kesemua payung dah terbuka. Memang nak sangat tengok live payung tu buka sampai habis. Takpa...masih ada 4 hari lagi peluang. Payung ditutup bila malam, dan dibuka waktu subuh.

Suasana selepas subuh
Sampai je di pintu hotel terus naik ke dewan makan untuk sarapan. Sempat juga bersembang dengan jemaah yang satu kumpulan dengan penulis. Rupanya ramai yang solat subuh di hotel. Mungkin mereka kepenatan setelah berjalan jauh. Dari KL-Jeddah 9 jam, Jeddah-Madinah 5 jam.

Total 14 jam tanpa henti. Itu belum dikira aktiviti yang mereka buat sebelum berlepas dari KL. Mungkin ada yang masih berkerja atau tak lena tidur sehari sebelum kerana terlalu excited. Memang patut pun kalau letih.


Travelog#27 - Tiba di Makkah

Makkah Al Mukarrahmah

10 minit sebelum sampai mutawif kami dah kejutkan semua jemaah. Masuk je kota Makkah dah boleh nampak menara jam besar. Kat situlah letaknnya Kaabah. Kami tiba di kota Makkah lebih kurang pukul 11pm. Bas kami parking betul-betul di depan hotel Hilton. Sebenarnya kami tak tahu pun kat mana hotel ni, bas berhenti tepi jalan. Ada banyak bangunan tapi boleh nampak dah menara Masjidil Haram. Lepas tu pegawai andalusia bernama Haji Faiz naik dalam bas, pegang mic dan memberi ucapan selamat datang.

Bas berhenti di depan pintu hotel
Dia bagitau, kami sekarang berada di hadapan hotel. Dia ada bagi sikit maklumat tentang selok belok hotel Hilton, macam mane servisnya, kat mana dewan makan, bilik dan lain-lain. Tapi yang penulis ingat dia ada pesan, jangan makan apa-apa pun coklat atau air kotak dalam bilik hotel. Semua tu nanti kena caj 6 riyal setiap satu. Dia jugak kata, jangan guna wifi nanti kena caj 75 riyal masa check out nanti.

Kami kemudian diberi kunci bilik masing-masing. Jemaah diberi masa lebih kurang sejam untuk naik ke bilik hotel, letak beg dan bersiap untuk melakukan tawaf dan saie. Kenapa mutawif kami buat malam tu jugak? Tak boleh tunggu esok ke, kami semua penat. Sebabnya kami semua dalam ihram dan berpantang, jadi kalau buat esok takut nanti ada yang langgar pantang menyebabkan uamrahnya tak sempurna atau kena bayar dam.

Nanti ada yang tidur selimut satu badan, mandi yang menyebabkan bulu badan gugur, potong kuku, terpakai wangi-wangian (termasuk guna syampu semasa mandi). Perbuatan ni kadang-kadang tak sengaja tetapi tetap dikira satu kesalahan. Jadi kami diarahkan berkumpul di ruang lobi pada pukul 1am malam tu juga.

Sedikit sejarah tentang Makkah

Jika nak buat umrah atau haji, Makkah adalah bandar yang WAJIB dikunjungi oleh orang islam kerana disini terletaknya bangunan Kaabah. Di sini juga merupakan arah kiblat ummat islam ketika menunaikan solat. Bangunan Kaabah dibina oleh Nabi Adam as. Kemudian Kaabah dibina semula oleh Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as. Semasa pembukaan kota Makkah pada tahun 9H oleh Nabi Muhammad as, berhala-berhala yang terdapat didalam bangunan Kaabah dihancurkan. Bermula dari saat itulah Kaabah terus dijaga oleh orang islam sehingga sekarang.



Makkah dikenali sebagai tanah haram, maknanya diharamkan orang bukan islam dari memasukinya. Tanah haram juga mengandungi hukum khusus yang perlu diamalkan berbeza dengan kawasan-kawasan lain. Rasulullah saw bersabda:

إن هذا البلد حرمه الله يوم خلق السموات والأرض فهو حرام يحرمه الله تعالى إلى يوم القيامة وإنه لم يحل القتال فيه لأحد قبلي ولم يحل لي إلا ساعة من نهار فهو حرام بحرمة الله تعالى إلى يوم القيامة لا يعضد شوكه ولا ينفر صيده ولا يلتقط لقطته إلا من عرفها ولا يختلى خلاة فقال العباس يا رسول الله إلا الإذخر فإنه لقينهم وبيوتهم ، فقال صلى الله عليه وسلم إلا الإذخر
(رواه مسلم)

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat kelak. Sebelumku, sesiapun tidak dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sesaat di siang hari. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat nanti. Pohonnya yang berduri tak boleh ditebang, haiwan buruannya tidak boleh dibunuh, dan barang cicirannya tidak boleh dikutip melainkan oleh orang yang mahu mengumumkan saja, dan rerumputannya tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-'Abbas berkata: "Kecuali rumput lalang, wahai Rasulullah, kerana ia sangat bermanfaat bagi manusia", Rasulullah saw bersabda: "Ya kecuali rumput al-izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya)." (Hadits riwayat Muslim)



Batas-batas atau sempadan tanah haram Makkah ialah: 

1. Dari arah Madinah ialah sejauh kira-kira 3 batu atau 4.5 kilometer. Sempadan ini terletak di kawasan Bani Nifar ataupun as-Syuqya. Pada masa ini tempat tersebut dikenali dengan nama Masjid A’isyah. 

2. Dari arah Yaman pula ialah sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer, iaitu di sebelah kawasan Ada’at Libnin dalam kawasan Tsaniyah Libnin.

3. Dari arah Iraq pula ia terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah berhampiran dengan bukit di al-Muqatar ataupun al-Muqta’.

4. Dari arah Tha’if dan dari pertengahan Lembah Namirah yang terletak di pertengahan jalan ke ‘Arafah adalah terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah, bersebelahan dengan ‘Arafah.

5. Dari jalan arah Ji’ranah adalah terletak sejauh kira-kira 9 batu atau 13.5 kilometer iaitu di Shu’aib al-Abdullah bin Khalid.

6. Dari arah Jeddah pula ialah sejauh kira-kira 10 batu atau 15 kilometer dari Makkah iaitu di Muntaqi’ ‘Ash’ash.

7. Dan dari Bathni ‘Uranah pula adalah sejauh kira-kira 11 batu atau 16.5 kilometer. (lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2390-2394)

Adapun ‘arafah sebuah bukit yamg tingginya lebih kurang 220 meter dari paras laut dan terletak dalam jarak kira-kira 25 kilometer di Tenggara Makkah. Ia tidak termasuk di dalam kawasan tanah haram. Imam an-Nawawi ada menjelaskan, katanya: واعلم أن عرفات ليست من الحرام Ertinya: Dan ketahuilah bahawasanya ‘Arafah itu bukan termasuk di dalam kawasan tanah haram. (Al-Idhah fi Manasik al-Hajj: 147) 

Manakala Mina merupakan sebuah kampung yang terletak sejauh kira-kira 7 kilometer dari Makkah dan Muzdalifah pula suatu kawasan yang terletak di antara Mina dan ‘Arafah. Muzdalifah termasuk di dalam lingkungan tanah haram.


Sempadan Tanah Haram Makkah

Tanah Haram Makkah ialah jarak yang melindungi Masjidil Haram dari segenap penjuru. Allah s.w.t. menjadikan hukum Tanah Haram sama dengan Makkah sebagai memuliakannya. Tanah Haram ini telah diharamkan oleh Allah s.w.t. semenjak dijadikan bumi hinggalah ke hari kiamat. Sempadan Tanah Haram memang patut di ketahui kerana ia berkaitan dengan beberapa hukum khas . Hukum Tanah Haram ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. semenjak bumi dijadikan dan ia berkekalan sehingga hari kiamat. Lantaran itulah, Makkah telah menjadi perhatian umat Islam sejak dahulu lagi.

Orang yang pertama dikatakan membuat tanda sempadan Tanah Haram ialah Nabi Ibrahim a.s. berpandukan petunjuk daripada Jibrail a.s. Selepas pembukaan Kota Makkah, Rasulullah s.a.w. telah melantik Tamim bin Asad al-Khuza’I r.a. agar memperbaharui tanda sempadan Tanah Haram.

Selepas itu khalifah dan pemerintah Makkah sentiasa memperbaharui a’lam (tanda) Tanah Haram di setiap penjuru, di atas bukit dan tempat tinggi, begitu juga di lembah. Ada yang masih kekal dan ada yang telah rosak. Bilangan tanda yang dibuat telah mencecah sehingga 934 tanda, sebagaimana yang di catat oleh Dr. Abdul Malik bin Abdullah bin Duhais dalam tesis Ph.D nya yang bertajuk ‘Al-Haram al-Makki al-Syarif wa al-A’lam al-Muhithah bihi.

Pembaharuan terakhir dilakukan pada tahun 1422H, pada zaman Khadimul Haramain al-Malik Fahd bin Abdul Aziz. Kawasan Tanah Haram Makkah panjangnya ialah 127 km dan keluasannya ialah 550 km dan 300 meter persegi. Di sini dinyatakan anggaran jarak di antara Masjidil Haram dengan beberapa sempadan Tanah Haram. Jarak ini sentiasa berubah-ubah mungkin disebabkan oleh faktor perubahan jalan, atau ikhtilaf dalam menentukan ukuran. Pada zaman dahulu, ukuran yang digunakan ialah mile (batu) hasta dan sekarang pula ialah meter dan kilometer.


1. Al-Tan’im Iaitu jalan keluar menuju ke Madinah. Ia terletak berdekatan dengan Masyid Sayidah Aishah r.ha. Jaraknya ialah 7.5 km. 

2. Adhaat Libn Kini dikenali dengan nama Uqaisyiah, iaitu jalan menuju ke arah Yaman. Jaraknya ialah 16 km.

3. Al-Syara’i Terletak pada jalan menuju ke masjid Ji’ranah. Jaraknya ialah 16 km. 

4. Al-Hudaibiyyah Iaitu jalan lama menuju ke Jeddah. Jaraknya ialah 22 km. Jalan baru sekarang dikenali dengan nama al-Syumaisi.

5. Jabal Namirah (Zat al-Sulaim) Jaraknya ialah 22 km mengikut jalan raya dan 15 km mengikut jalan lurus pejalan kaki (pesestrian).


Manakala sempadan Tanah Haram dengan tanah halal di Arafah (tempat wuquf) dikenali melalui tanda-tanda yang banyak dibina di Wadi ‘Uranah. Allah s.w.t. telah menjadikan seluruh kawasan ini sebagai kawasan yang aman dan menjadi tempat tumpuan manusia. Firman Allah bermaksudnya: ‘Sesiapa memasuki Tanah Haram, maka dia akan mendapat keamanan’. Allah memberi ancaman kepada mereka yang cuba melakukan kejahatan (ilhad) di dalam Tanah Haram dengan firman-Nya yang bermaksud ‘Dan sesiapa yang berniat (belum melakukannya) untuk melakukan ilhad (kezaliman dan kejahatan) di Tanah Haram, nescaya Kami rasakan kepadanya sebahagian daripada seksaan yang pedih’. Allah akan menimpakan azab ke atas mereka yang berniat untuk melakukan kejahatan di Tanah Haram. Kata Ibn Mas’ud r.a.: “Tiada tempat yang seseorang itu dikira bersalah dengan hanya bercita-cita untuk melakukan sesuatu kejahatan sebelum melakukannya, kecuali di Makkah."

Travelog#18 - Rawdhah

Raudhatul Jannah - Taman-taman Syurga

Raudhah ni terletak di sebelah makam Nabi. Kawasan rawdah ni tak besar, adalah sebesar 2x saiz court badminton dan hanya boleh muat 200 jemaah sahaja. Tapi penulis tengok, jemaah yang solat dalam tu lebih dari kapasiti yang sepatutnya. Terasak-asak dan aksi tolak-menolak, terpijak tengkok orang sedang solat, terpijak tangan, kaki, kepala adalah perkara biasa. Nak solat disini kena banyak bersabar.

Tapi kalau tak buat macam ni, sampai bila-bila pun tak akan dapat solat disitu. Jika anda berpeluang solat disini, mintalah doa banyak-banyak kerana sangat mustajab. Doa kita akan dikabulkan oleh-Nya. Mintalah apa sahaja, jangan malu. Ini peluang mungkin sekali seumur hidup. Penulis sendiri sebak ketika berdoa. Insyaallah, balik Malaysia nanti akan ada perubahan.

Sentiasa sesak dengan jemaah
Rawdah ni maksudnya 'Taman-taman Syurga'. Ini berdasarkan hadis Nabi saw: "Antara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga" (Bukhari no. 1196). Kawasan ni antara mimbar dan rumah Nabi. Sekarang rumah Nabi dah jadi makam. Maknanya area ni sekarang adalah diantara mimbar dan makam Baginda saw. Jutaan jemaah yang datang ke sini semuanya ingin solat di dalamnya. Jadi kita kena pandai cari waktu yang sesuai untuk enter kawasan ni. Raudhah ni dibuka 24 jam dan sentiasa ramai. Waktu yang paling mudah nak masuk adalah antara pukul 1-3 pagi. Nak kata mudah tak sangat, tapi kurang sesak berbanding waktu lain.

Mimbar

Mimbar Rasul tetapi bukan yang asal.
Inilah sempadan rawdah, iaitu dari mimbar Rasul ke makam Baginda. Lihat ada kanvas penghadang putih ditepi mimbar. Disitulah berakhirnya sempadan rawdah. Selain tanda mimbar dan makam, kawasan rawdah juga diletakkan karpet berwarna hijau. Semua karpet di dalam masjid nabawi berwarna merah kecuali rawdah. Selama mana kaki kita ni masih berpijak atas karpet merah maknanya anda belum sampai lagi ke kawasan raudhah.

Pemisah Rawdah.
Inilah pemisah antara rawdah, karpet hijau dan merah. Lihat sahaja berapa ramai orang yang berada di atas karpet hijau sampai takde langsung ruang nak solat. Mereka berdiri menunggu giliran, masing-masing dah tempah tempat solat dengan menunggu dibelakang jemaah yang sedang solat. Orang tu beredar je terus mereka ni masuk ganti. Begitulah sistem kat sini, jadi kena banyak bersabar.

Peringatan diterjemah dalam pelbagai bahasa. 
Penulis berpeluang solat di raudhah hampir setiap malam. Mungkin ini rezki penulis yang datang dari jauh. Selain solat sunat, penulis juga berpeluang solat fardhu disini. Waktu yang paling crowded adalah ketika solat fardhu. Siapa yang dapat solat time ni dikira amat bertuah. Penulis juga dapat solat di hadapan mimbar dan mihrab Rasul. Syurkur kepada Allah swt.

Mihrab

Antara tempat yang menjadi favorite jemaah adalah di tiang taubat, tiang pengawal, tiang wangi, tiang tahajud (tiang ni di luar raudhah), kawasan mimbar dan mihrab. Ni la antara kawasan yang menjadi rebutan jutaan jemaah dari seluruh dunia. Siapa yang dapat solat di area ni dikira cukup bertuah sangat. Mihrab tu la tempat Rasul berdiri menjadi imam solat berjemaah. Rasulullah saw membina mihrab pada tahun 2 hijrah setelah mendapat perintah dari Allah swt supaya menukar arah kiblat. Sebelum itu kiblat ummat islam adalah di Baitul Maqdis. Perintah itu turun ketika Nabi sedang solat di Masjid Qiblatain.

Mihrab
Di tepi kiri mihrab ni ada laluan keluar, belok ke kiri terus nampak makam Rasul...sebab raudhah ni disebelah kanan makam. Lepas solat elok keluar ikut sini kalau mampu, bagi salam pada Rasulullah dan keluarla ikut pintu Baqi. Kat laluan keluar tu ada pak syeikh yang duduk atas kerusi di tepi mihrab. Dia jaga jemaah yang buat perkara khurafat. Mesti ada la, jemaah datang dari pelusuk dunia dengan bermacam mazhab, thariqat, yang sesat, yang taksub, yang tak tahu apa-apa pun ada, berdiri je kat situ tak tahu nak buat apa. Sampai pak syeikh tu suruh "solat haji, solat...". Laluan keluar ni dilarang untuk solat sebab akan menghalang aliran trafik. Ramai jugak yang cuba angkat takbir tapi dihalang oleh polis.

Saf Solat

Nak cari saf ni kena bijak. Gambar dibawah tu jemaah sedang intai ruang nak masuk dalam raudhah. Gambar ni penulis ambil masa berdiri atas karpet merah, belum lagi enter dalam raudhah. Jangan berdiri dan berkumpul dengan mereka ni. Cuba masuk perlahan-lahan dan cari orang yang sedang solat. Terus berdiri dibelakangnya. Dia selesai solat dan bangun, cepat-cepat ambil tempat dia. Kedua, pergi ke tengah atau depan hampir dengan mihrab atau mimbar. Selalunya kat sini masih ada ruang untuk solat.

Kat sini ada polis yang jaga makam, kalau dia nampak kita, insyaallah dia akan bantu. Ketiga, cara ni zalim skit tetapi sangat berkesan. Solat je di depan orang yang sedang tidur, atau sedang mengaji, atau sedang bersembang, atau sedang mengelamun. Puak ni bukan tahu beri kerjasama, selfish. Kalau kita dah angkat takbir, suka tak suka dia akan bagi ruang untuk kita. Begitu juga orang di depan, dia akan bergerak ke depan skit supaya kita boleh sujud.


Saf memang cukup-cukup kritikal. Pantang ada ruang kosong mesti ada orang berdiri kat situ. Yang berdiri betul-betul depan orang sedang solat pun ada. Sampai masa nak rukuk terpaksa bagi isyarat, kalau tak memang tak boleh rukuk. Sepatutnya sebidang karpet tu hanya untuk 1 saf tapi dah jadi 2 saf. Nak sujud kepala ketika solat cukup payah. Terpaksa kecilkan tubuh ni supaya dahi dapat sentuh atas karpet.

Masa nak angkat kepala tu kena hati-hati, kekadang terhantuk kaki orang yang sedang melangkah kepala kita ketika solat. Kat sini langkah kepala orang selamba je. Nak buat macam mana, dah takde ruang nak lalu, terpaksalah kena buat begitu. Penulis buat jugak, memang tak boleh marah sebab semua orang buat.

Lihat betapa sempitnya ruang solat
Masa kursus, penceramah tu kata kalau nak berdoa dalam raudhah jangan angkat tangan selepas solat. Doa la ketika sujud terakhir. Kalau dah selesai solat dan angkat tangan nak berdoa, polis kat situ akan tarik kita keluar sebab nak bagi peluang kat orang lain pulak. Inila tips yang dia bagi. Tapi sepanjang penulis bersolat dalam ni, takde pun polis yang jaga. 

Yang tidur pun ada, yang baca quran pun ramai, yang doa sampai sejam pun ada jugak. Mereka yang tak buat apa-apa pun ada, dok sembang je sementara tunggu masuk waktu sebab sayang takut tempat tu diambil orang lain. Mungkin polis pun tak larat nak jaga, lantak korang la. Pepandaila cari tempat sendiri. Wallaahuallam

Raudhah untuk Wanita

Bagi kaum wanita, ada zon masa untuk mereka, iaitu dari pukul 7am-11am. Petang selepas zohor sehingga hampir asar dan disebelah malam pula selepas isyak hingga 12 malam. Kenapa ada masa khusus untuk wanita? Sebab rawdah ni adalah kawasan solat kaum lelaki. Untuk wanita ada sistem yang agak sistematik, supaya masing-masing semua dapat peluang solat. Kalau lelaki ikut sistem buat sendiri.


Waktu raudhah dibuka untuk kaum wanita, hanya separuh sahaja kawasan ni dibuka. Selebihnya akan diletak kanvas sebagai penghadang. Bermula dari belakang sampai ke tiang muazin tu. Akan ada polis wanita yang jaga, mereka boleh cakap melayu. Waktu nak masuk akan dibahagi ikut negara.

Dibawah payung gergasi ni la jemaah wanita berkumpul sebelum masuk ke raudhah
Sebelum tu semua diminta berkumpul di luar rawdah, tunggu arahan. Bila tiba masanya polis akan susun ikut giliran negara masing-masing. Tujuannya ialah supaya tak nak bagi kena belasah, maklumlah orang arab ni body besar, beza dengan kita tubuh slim. Matila kena lenyek nanti. Yang dari Iran, Irak, Turki, Pakistan, Saudi masuk dulu. Lepas tu giliran Malaysia dan Indonesia. Kadang-kadang geng Turki dicampur dengan Asia sebab mereka ni lembut dan baik macam kita. Tak sama macam Arab atau Parsi, mereka ni main langgar je, dahla pakai jubah besar. Yang terpelosok masuk dalam kain puak tu pun ada...masa bangun dari sujud tetiba je jadi gelap. :) 

Tiang Tahajud

Dalam rawdah ada banyak tiang bersejarah. Seperti yang penulis cerita, kawasan rawdah ni tak besar. Tapi nak pergi satu tiang ke tiang yang lain cukup seksa. Memang la kalau boleh nak solat kat semua tiang yang ada dalam tu, tapi pepaham je la. Semua tiang ni dulunya batang pokok kurma. Ada lapan tiang yang bersejarah kesemuanya. 

Antaranya tiang tahajud, tiang wangi, tiang pengawal, tiang Aisyah, tiang taubat, tiang katil, tiang perwakilan dan tiang maqam Jibrail. Kesemua tiang ni ada sejarah yang tersendiri. Tapi penulis nak cerita tentang tiang tahajud sebab tiang ni dah takda. Bukan dirobohkan tetapi dilindung oleh rak-rak buku.

Jemaah sedang solat dihadapan tiang tahajud.
Tiang Tahajud sekarang berada dalam makam.
Tiang ni berada di belakang rumah Siti Fatimah. Tetapi sekarang tiang ni dok dalam pagar hijau tu, dekat makam Rasul. Ada mihrab kat belakang rak al-quran tu sebagai tanda. Kat situlah Rasul selalu solat tahajud. Tempat ni menjadi kegemaran Rasul untuk bermunajab kepada Allah swt. Mihrab tu masih ada tetapi ditutupi dengan rak, penulis sendiri tak paham kenapa pemerintah Saudi buat macam ni. Apa motifnya? Kalau tak nak bagi orang solat kat sini, tutup terus je la kawasan tu. Tapi boleh solat, boleh baca quran kat situ, nak tidur pun boleh.

Mihrab Tahajud

Tempat Muazin dan Imam 

Kat atas tu tempat muazin
Dalam raudhah, ada disediakan tempat muazin untuk melaungkan azan. Tempat tu mengadap ke arah mimbar Rasul. Dibuat bertingkat, ada tangga. Tak tinggi, agaknya dalam 7-8 kaki sahaja. Di antara dua tiang tu la tempat muazin melaungkan azan untuk solat fardhu 5 kali sehari. Manakala tempat imam pula di mihrab Rasul. Siapa yang solat diluar dataran, ada diletakkan tanda amaran supaya jangan melebihi garisan ini sebab itulah sempadan antara kedudukan imam dan makmun.

Papan tanda tentang kedudukan imam. Ada juga dalam bahasa melayu
Kerja Pembersihan

Apa yang penulis perasan ialah selepas solat subuh, kawasan Raudhah ni akan dihadang dengan kanvas putih untuk kerja-kerja pembersihan. Mereka tak halau orang yang masih solat dalam tu, tetapi nak masuk memang dah tak dibenarkan.

Penghadang Kanvas

Pekerja yang bersihkan kawasan ni memang ramai, mereka semua guna vacuum portable boleh sangkut kat belakang macam beg...sangat praktikal. Karpet tu bukannya kotor sangat pun, tapi tetap dibersihkan setiap hari. Dalam bab ni penulis memang puji kerajaan Saudi menjaga masjid ni, kebersihan memang A+.

Pekerja sibuk membersihkan karpet sekitar Raudhah
Salah satu pintu ke Raudhah ditutup sementara.

Lebih kurang selepas Syuruk, kanvas ni akan dibuka seperti biasa. Beginilah rutin setiap hari di Masjid Nabawi.